Saturday, October 14, 2017

Bisikan hati Si Tanggang

Amaran : Nukilan ini tiada kaitan dengan si hidup atau si mati. Nukilan ini hanya buatan dan tulisan kosong sahaja hasil dari idea yang seimbas lalu. Mengisahkan seorang anak yang selalu dipandang serong oleh keluarga, namun mempunyai daya usaha yang sangat tinggi. Seringkali kita dengari perkara ini berlaku di merata pelajar institusi di negara. Disini saya bawakan nukilan khas umpama bisikan hati untuk anda terus cekal dan sabar......Maaf saya bukan penulis.


Sejak dua menjak ni, banyak masalah dalam fikiran yang datang dari hal pembelajaran dan kehidupan. Normal la kan? Tapi beza dari diri aku. Memandangkan kolej yang aku study ni kerajaan, jadi pembiayaan yang lain ditanggung penuh oleh keluarga. Tambahan aku perantau, walau bukan di negeri orang. Tapi masih tempat yang berlainan dan berjauhan dengan keluarga. Niat mula aku hanya nak jadi beza dari adik beradik yang lain yang sampai harini bersama keluarga. Teringin nak jadi pencetus kejayaan dan penebus kesusahan. Tapi lain persepsi yang datang dari sebahagian pihak.

Harini aku sedar, malah dari dulu lagi aku dah sedar. Proses pembelajaran aku menelan ribuan ringgit. Tambahan keluarga aku bukan dari keluarga yang senang. Niat aku selalu tersemat di hati, setiap semester nak dekan, higher pointer dan mendapat anugerah-anugerah tambahan yang lain. Ini kerana nak merasakan ayah dan ibu berbaloi dek pengeluaran wang yang terlalu banyak setiap minggu dan bulan.

Aku salahkan diri aku. Dulu nak berjauhan, sehingga tak pandai berdikari di asrama. Disebabkan pelbagai masalah muncul dari situ, ayah memberiku peluang duduk di luar. Kos sara hidup makin naik. Aku hanya satu semester di asrama. Hidup di sana banyak yang berbeza dari sekolah harian ku. Antaranya hidup makan di dewan makan, konsep kelas yang pagi ke petang, tidur di dorm beramai-ramai, suasana bising dan sebagainya. Ada yang aku suka, ada yang aku tak suka. Tapi tu dulu, cukup derita dan manis aku agihkan bersama kawan kawan. Setelah berlalunya satu semester, aku duduk bersama seorang sahabatku di bilik sewa.

Bahagia kami tak terkata, bebas dari arahan dan peraturan. Tapi penderitaan di asrama tak terhenti di situ. Aku masih merasakan perit "manis gula, masam asam jawa" Bermula hari itu, aku perlu bangun awal seawal subuh dan siap mandi untuk ke kelas. Sedangkan kelas bermula jam 8pagi. Berbeza dengan asrama yang setelah subuh, kami mempunyai peluang untuk kembali tidur sementara tunggu waktu untuk mandi. Hal ini kerana, aku perlu mengejar waktu bas yang bergerak awal ke tempat kolej ku. Aku berjalan kaki kira-kira 1km dari bilik sewa untuk ke stesen bas. Lalu setelah sampai di tempat kolej, aku perlu berjalan 2km dari bus stop ke pagar kolej. Begitulah harian kelas ku setelah dari itu. Aku nekad, tanam rasa kelonggaran peraturan sebagai pelapis rasa derita dalam diri. "Lansung tak menyesal, best apa duduk luar!". Ungkapan yang selalu bermonolog dari mulut dan berdialog bersama kawan-kawan. Senyum sentiasa sewaktu masuk dan keluar dari pagar kolej.

Jika dulu di asrama, tepat 12.30 tengah hari kami boleh makan, berkejar berebut kelaparan di dewan makan asrama, sewaktu itu berbeza. Aku dan kawan aku ikat perut duduk diruangan kelas hingga jam 2 petang atau 3 petang untuk kelas petang seterusnya. Mungkin beralaskan roti. Cakap pasal roti, terimbas kenangan manis. Manis bagi aku. Ketika aku ingin beli roti, cukup sahaja duit yang ada di tangan. Kerana waktu itu sudah hampir hujung minggu, jadi duit belanja sudah hampir habis. Ketika sudah membeli roti dan ingin ke kelas, aku ditolak salah seorang yang tidak aku kenali. Aku terjatuh tersungkur dengan roti roti itu, lalu mereka pijak makanan ku. Aku tersenyum dan bangun. Niat hati mereka pastinya ada dendam tapi kenangan ini aku ingat sehingga harini. Perjalanan hidup yang disangkakan keluarga aku bersenang di kolej, hanyalah semata-mata anggapan palsu.

Aku yakin. Allah beri ujian yang kuat ini untuk aku rangkul kejayaan suatu hari nanti. Kadang-kadang duit di poket tidak cukup, tapi aku bohong apabila ibu ayah menanyakannya. Niat yang satu, tak mahu susahkan ibu ayah. Sebak di hati, mengalir air mata di pipi. Saja nak merasakan kepayahan, sebab susahnya ayah ibu dulu pun jauh lagi susah dari yang aku rasakan. Aku bukanlah anak yang selesa duduk senang. Tapi pandangan pada ku sering kali serong dan ambil senang sehingga aku tiada ruang untuk bercerita dan mereka yang menuduh menang.

Ayah bukan seorang yang kejam, malah lembut hatinya. Cuma terkadang dia mudah mentafsirkan pandangan yang serong ke atas diriku. Tapi aku tak salahkannya, biarlah pandangan itu berlalu sehingga aku memberi kejayaan padanya suatu hari nanti. Hal ini aku katakan kerana ayah tak senang melihatku berjalan kaki ke tempat kolej, di membelikan aku scooter kick. Hasil dari idea yang ku lihat di youtube. Agak kelakar bila dikenangkan. Tapi aku memakai scooter kick ini untuk memadam kepenatan diri dan menyelitkan elemen bahagia di dalam minda. Hahaha kelakar. Cukup kelakar bila diingatkan. Tapi biasalah, bila bahagia datang. Mesti ada yang pahit tiba. Ketika aku membawa scooter kick tersebut ke kolej, ada saja senior yang ingin melanggarku dengan menaiki motor. Bukan silap atau salah tapi sengaja di takutkan. Biarlah, mereka di dunia ini memang lelah melihat kebahagiaan aku. Yang aku hanya kongsikan bersama diri, walau sedikit mereka tetap merasa dengki. Manusia.

Hari demi hari, ayah masih belum senang melihatku begitu. Selain dari kerisauan untuk makan dan minum di luar. Ayah menyuruhku untuk mengambil lesen motor. Kerana dia ingin memberi motor kepadaku untuk dibawa ke kolej. Memandangkan sahabat aku waktu itu tak dapat menawarkan apa apa kenderaan, kerana dia juga berasal dari keluarga yang susah. Tambahan waktu itu arwah ibunya nazak sakit dibuat orang. Manusia ini memang penuh dengan hasad dengki. Semoga ibu sahabatku ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin, Al-fatihah.

Alhamdulillah, setelah sebulan mengambil lesen motor. Ayah memberikan aku sebuah motor untuk dibawa berulang alik ke kelas. Hidupku sewaktu itu semakin senang. Selepas itu, ayah memberikan aku kereta setelah aku lulus lesen kereta. Perjalanan hidup aku tak semakin senang dan berada di sudut selesa. Aku cuba untuk menampung kos hidup yang kian meningkat. Aku bercadang untuk membuat perniagaan kecil-kecilan dengan menjadi seorang surprise planner. Alhamdulillah dengan barang-barang yang ada, aku dapat membuat decoration atas permintaan pelanggan. Setelah itu aku menjual brownies cake ke seluruh negeri. Dari selatan negeri hingga ke utara negeri pada setiap minggu. Namun, ayah masih memandang serong terhadapku. Dia ingin melihat keuntungan hasil dari jualan, tapi tak dapat ku berikan atas kegunaan perbelanjaan. Lalu ayah menuduh aku berfoya-foya sahaja dengan perniagaan yang tidak seberapa.

Tidak kurang dari itu, saudara mara pula menuduh aku mendapat duit tambahan dari menjual diri. Dan duit dari sumber yang haram. Setiap manis yang kurasa tak pernah terlepas di sulam dengan kepahitan. Sabar sentiasa dalam diri. Sabar sabar sabar, itu lah zikir yang seringkali disebut di mulut dan di dalam hati. Usahalah bagaimana, tunjuk la kejayaan setinggi apa pun, tanggapan murah dan hina masih melekat di dahi.

Jadi konklusi diri, walaupun pointer setiap semester tak menghampakan, walaupun anugerah peringkat dunia dan kebangsaan dapat dirangkul, walaupun nama dijulang baik, walaupun pelajaran tidak menurun, pandangan serong masih ada. Aku hanyalah insan yang tidak perlukan pujiaan dan penghargaan dari kalian. Aku hanya perlukan kepercayaan dan sedikit ruang untuk mencari kebahagiaan kelak. Usah bimbang dan usah melulu dalam menanti kejayaan anakmu ini. Ada rezeki, In shaa Allah tak pernah aku lupakan kepayahan dan keperitan kalian dalam memberi. Aku sedih dengan perkataan yang sering kali keluar tanpa rasa bimbang dari mulutmu. Aku anak yang teruk, derhaka, tanggang, bersikap buruk, penipu dan sebagainya. Bukankah kamu bimbang akan perkataan yang dilontarkan itu menjadi satu doa? Tapi begitu berani kamu melontarkan perkataan begitu ke atas diriku. Bukan sahaja melontar, malah menandakan aku anak tanggang pada suatu hari nanti.

Tak mengapalah. Aku terima semua.
Asal aku tahu kedudukan diri ini.
Siapa yang ku sayangi dan hargai.
Aku sayang kalian.
Cuma perlu waktu dan ruang.
Ingat hal ini dan jangan dibuang.
Aku hanyalah manusia.
Bukan pemberi kejayaan yang Maha Berkuasa.

Sekian.

Nota kaki : Dalam belajar, jauhkan diri untuk menerima ganjaran dari keluarga. Pertama sekali, bersungguh dalam menimba ilmu. Kedua bergaul dengan kawan-kawan yang membawa kejayaan dan tidak senang dalam zon selesa. Ketiga, jangan harapkan ganjaran dari mana-mana pihak. Keempat sentiasa anugerahkan diri sendiri walaupun sedikit. Kelima, redha dengan perkataan dan cacian serta cabaran pahit yang dihadapi. Allah beri ujian (kepayahan) sebab nak bagi kita kesenangan (kejayaan). Ingat! Biar orang caci kita dan tuduh serta mentafsirkan yang tidak-tidak ke atas diri kita. Asal kita tahu siapa kita, bagaimana cara kita hidup, dan apa yang ada dalam diri kita serta matlamat kita. 

Maaf kerana hasil karya saya 100% lari dari kisah Si Tanggang. Berikut merupakan Sinopsis kisah Si Tanggang. 

Byebye! Assalamualaikum. Doakan saya tamat final dengan baik dan dapat menjalankan intern dengan sempurna bermula 27 November 2017 ini. Amin!

No comments: